Friday, February 9, 2007

pengenalan

Perkembangan membawa erti perubahan dengan masa, iaitu perubahan dengan umur dan perubahan daripada jenis evolusi atau ontogenik. Kedua-dua jenis perubahan ini sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana seperti yang disarankan oleh Baltes, Reese dan Nesselroade (1977) dengan meningkatnya umur, perubahan evolusi lain akan berlaku, iaitu dalam bentuk sahsiah, kognitif, moral, fizikal dan lain-lain. Secara amnya, bahagian perkembangan manusia akan memaparkan jenis-jenis dan tahap-tahap perkembangan yang kita semua alami sejak kelahiran hinggalah ke akhir hayat.
Dalam masa perantaraan iaitu antara waktu lahir dan masa manusia mencapai kematangan, pelbagai jenis masalah, peristiwa, konflik dan perkara-perkara rumit yang berlaku. Setiap peristiwa yang berlaku pada zaman kanak-kanak biasanya akan memberi kesan ke atas tingkah laku dewasanya.
Secara amnya, perkembangan manusia ialah hasil daripada interaksi baka dan alam sekitar. Sifat tabii dan personaliti manusia dipengaruhi oleh interaksi serta rangsangan-rangsangan yang diperoleh dari alam sekitar, iaitu bimbingan, asuhan, dan tunjuk ajar daripada ibu bapa dan keluarga. Keadaan masyarakat, budaya dan sosial juga merupakan satu daripada interaksi antara seseorang dengan alam sekitar yang akan menentukan wataknya apabila besar kelak.
Setiap manusia di dunia ini akan berkembang melalui tiga tahap umum, iaitu tahap kanak-kanak, remaja dan dewasa. Setiap tahap ini berkesinambungan antara satu sama lain, contohnya bermula daripada bayi, menjadi kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa. Kedewasaan sering dikaitkan dengan kebolehan untuk bertanggungjawab (Knowles, 1986). Pada masa inilah, seseorang itu seharusnya menunjukkan kebolehannya menampung kehidupan sendiri, keluarga, anak dan isteri. Individu dewasa seharusnya boleh berdikari dan tidak sepatutnya mengharapkan belas kasihan orang lain. Walau bagaimanapun, golongan dewasa tetap mengalami pelbagai masalah dan konflik. Terdapat beberapa peringkat dewasa iaitu dewasa awal, dewasa pertengahan dan akhir di mana setiap peringkat dewasa ini mempunyai konflik tersendiri.